Kosmo!: Taman dalam rumah


PEMILIHAN rona hijau sebagai warna utama dilihat sinonim dengan konsep dalam taman yang diketengahkan oleh pemilik.
PADA kebiasaannya, konsep taman hanya boleh diaplikasikan di bahagian luar rumah sahaja, malah tidak pernah terlintas di fikiran konsep itu sebenarnya boleh juga diaplikasikan di dalam rumah.

Aura ketenangan menusuk ke kalbu kru Jurnal tatkala memasuki kediaman berkonsepkan taman dalam rumah yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Sesuatu yang menjanjikan kelainan apabila kru Jurnal dihidangkan dengan gabungan warna hijau sebagai rona utama dari pintu masuk sehinggalah ke ruang dapur yang menempatkan dapur basah dan kering di kediaman yang berkeluasan 102 meter persegi itu.

Menurut pemiliknya, Faizal Zain, 35, konsep itu selalunya diaplikasikan bagi mereka yang mendiami rumah teres apatah lagi mempunyai ruang yang mencukupi untuk bereksperimentasi.

Tambahnya, pemilihan konsep taman dalam rumah itu dipilih bagi menimbulkan kelainan selain cuba lari daripada konsep dekorasi biasa yang selalu diketengahkan.

“Saya sudah membayangkan konsep ini sebelum berpindah ke rumah ini lagi dan saya memperoleh idea untuk mengetengahkan konsep ini apabila melihat taman selalunya diaplikasikan di bahagian luar rumah.

JELAS Faizal, dia gemar mencuba konsep dekorasi yang unik dan lain daripada lain untuk diaplikasikan pada kediamannya itu.
“Oleh itu, saya bereksperimentasi dengan mengetengahkan konsep berlainan walaupun pada mulanya, isteri, Shahnaz Mohamed, 34, tidak bersetuju dengan konsep ini sehinggakan dia mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat hasil dekorasi yang saya bayangkan.

“Dia sebenarnya menyukai konsep moden tetapi lama-kelamaan dia mulai suka de­ngan konsep taman dalam rumah ini yang banyak menggunakan warna hijau sebagai rona utama,” ujarnya yang juga pemilik kedai hiasan dalaman, Zaldeco Inspirations.

Bunga tiruan

Tambahnya, warna hijau digabungkan dengan warna firus dan putih bagi menepati konsep yang dibawa selain penggunaan bunga-bunga tiruan yang kelihatan seperti asli bagi menaikkan lagi seri pada sesuatu ruang.

PEMILIK turut mengaplikasikan konsep dalam taman pada bahagian dapur kering dan basah ini.

“Sebenarnya saya pernah mengutarakan konsep sama untuk beberapa rumah pelanggan yang mendapatkan khidmat hiasan dalaman daripada saya tetapi agak sukar untuk mereka membayangkan konsep itu.

“Oleh sebab itu, saya cuba melakukan konsep dekorasi itu di rumah saya bagi memudahkan pelanggan mendapat gambaran yang sebenar,” jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Katanya, penggunaan perabot berpotongan ringkas dipilih bagi melatari ruang di bahagian ruang tamu apatah lagi disebabkan ­ruang yang terhad.

“Tidak sukar untuk saya mendapatkan perabot berwarna putih, namun untuk barangan elektrik berwarna putih, saya terpaksa menempah barangan edisi terhad seperti set televisyen.

“Untuk ruang makan pula, saya menggunakan perabot ­hiasan laman yang diperbuat daripada besi. Ia boleh memuatkan seramai empat orang dan dihias indah dengan lampu berbentuk tanglung,” tambahnya sambil memberitahu melancong banyak memberikan idea kepadanya untuk menghasilkan dekorasi sesuatu konsep.

LAMPU berbentuk tanglung dipilih menghiasi ruang makan yang boleh memuatkan seramai empat orang ini.
Maskulin mistik

Melangkah masuk ke ruang tamu kediaman ini, kru Jurnal dapat melihat gabungan rona hijau, firus dan putih yang mendominasi keseluruhan kediaman menyerlahkan lagi konsep taman selain menyuntik keselesaan serta mampu merangsang minda serta emosi isi rumah.

Pemilihan pelekat dinding bermotifkan hutan yang menghiasi bahagian ruang tamu sememang­nya memainkan peranan yang tersendiri apabila bertindak sebagai titik fokus utama di ruang itu.

Ditambah dengan buaian rotan berwarna putih yang se­ring dijadikan ruang santai kepada pemilik dan keluarga disebabkan ketiadaan balkoni pada kediaman itu.

Susunan bantal-bantal kecil pula menghiasi perabot berwarna hijau di ruang tamu yang menempatkan set televisyen berwarna putih yang ditempah khas oleh pemilik.

Koleksi album duet pemilik bersama beberapa artis terkenal seperti Salwa Abdul Rahman, Jaafar Onn dan Rohana Jalil turut dijadikan bahan dekorasi di bahagian pintu masuk utama ke kediaman itu.

“Di bahagian bilik tidur utama pula, saya tidak mengaplikasikan konsep sama kerana mahu lebih santai dan tenang tanpa menggunakan sebarang aksesori dan konsep sarat.

“Dari segi penjagaan pula, saya akan membersihkan rumah se­minggu sekali selain jarang membuka tingkap bagi mengelakkan rumah daripada berhabuk,” jelasnya yang memberitahu dia memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk kos dekorasinya itu.

Katanya, dia mahu mencuba konsep maskulin mistik jika mahu menukar konsep taman dalam rumah itu kelak.

“Konsep maskulin mistik ini lebih kepada penggunaan warna hitam, perak dan emas selain bahan dekorasinya terdiri daripada topeng dan patung,” tambahnya yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Artikel Penuh: Kosmo!

Harian Metro: Landskap serlah identiti pemilik



Garapan seni bina yang unik tidak hanya diketengahkan menerusi binaan semula rumah pusaka itu, kerana kediaman utama pasangan suami isteri ini juga tidak kurang hebatnya.

Malah, pencinta dunia seni ini cuba menzahirkan binaan dan persekitaran lebih eksklusif menerusi gabungan material moden dan tradisional.

Nyata idea seni bina yang cuba dizahirkan dirancang rapi supaya binaan tersergam gagah itu menampilkan identiti pemiliknya.

Bahagian tingkap dan bumbung kediaman itu tampil unik dengan kemasan kayu yang menyerlahkan nilai estetikanya.



BERSANTAI di sini seketika sambil menyaksikan panorama landskap dari kolam renang.

Idea itu memperlihatkan kesinambungan antara kediaman asal dengan rumah pusaka.

Sekali gus membuktikan kombinasi menarik dan mampu mencipta idea seni bina yang tidak lapuk ditelan zaman.

Turut menyumbang, latar landskap berkonsepkan hijau yang cuba diketengahkan tidak kurang menariknya dalam melengkapkan keindahan sebenar. 

Foto

POKOK mangga antara yang ditanam.

Jika Rosnah begitu teruja memperincikan binaan semula rumah pusaka, Rahim pula dikatakan arif berkenaan latar landskap.

Penataan taman merangkumi segenap sudut itu bermula dari kediaman utama hingga rumah pusaka itu.

“Konsep santai dan ringkas menjadi idea utama supaya sesiapa saja yang berada di taman lebih selesa serta terasa bagaikan kediaman sendiri.

“Sejak mendiami rumah ini pada 2008, latar landskap mula dibina sedikit demi sedikit hinggalah pemandangannya seperti hari ini.

“Apatah lagi seisi keluarga lebih selesa dalam persekitaran hijau tanpa terlalu sarat dengan tanaman tidak sesuai,” kata Rahim yang juga pesara kerajaan.

Rumput terbentang hijau dengan pelbagai tanaman terpilih ditanam dalam pasu atau atas tanah.

Hamparan rumput itu sengaja ditanam dalam kapasiti yang besar untuk memberi peluang kepada keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga menikmati sepenuhnya suasana semula jadi.

Di tepi pagar pula, beberapa pokok buah-buahan seperti mangga menghiasi sudut dengan karakter tersendiri.

Material pagar yang dibina berasaskan kayu juga tidak dinafikan menjadi elemen tambahan mencipta sudut keindahan dari pandangan berbeza.

Kehadiran wakaf yang menjadi tempat santai bersebelahan pokok mangga itu menambahkan keceriaan sebaik berada di taman.

“Tiada lain yang cuba kami ketengahkan. Sekadar berkongsi suasana semula jadi yang semestinya menjadi terapi buat sesiapa saja.

“Merehatkan minda dengan berenang di kolam mini sambil menikmati panorama landskap pastinya lebih menarik,” kata Rahim.

Lebih menggamit rasa apabila pemandangan hijau itu dapat disaksikan sepenuhnya ketika berada di rumah pusaka.

Dari sudut mana sekali pun terutama beranda, keindahan landskap tetap menarik sepanjang masa.

Bahagian depan rumah pusaka itu pula turut ditanam pokok hijau berbunga segar.
Menjadi simbolik kemesraan menyambut kunjungan tetamu ke rumah pusaka itu.

Bagaimanapun, panorama landskap tidak terhenti di situ kerana pada satu sudut khas, ditanam pelbagai tanaman herba untuk keperluan dapur.

Harian Metro: Bangkit seri rumah pusaka



Oleh Hartini Mohd Nawi

Hasrat mengembalikan kegemilangan seni bina rumah pusaka yang memahat pelbagai memori indah, antara pendorong utama buat pencinta dunia seni dan tradisional ini.

Tiada lain yang diimpikan kecuali menampilkan persekitaran ‘dulu-dulu’ dalam situasi hari ini untuk dimanfaatkan keluarga dan sanak saudara.

Kini Rosnah Abd Ghani, 55, mampu tersenyum puas kerana saban waktu khazanah tradisional yang cuba dikekalkan itu sudah berada di depan mata.

Tidak keterlaluan jika ada yang begitu teruja sebaik menyaksikan binaan semula rumah pusaka sarat dengan nilai estetika itu.



KARAKTER ruang dalam rumah pusaka kekal klasik.

Terletak di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor, kediaman utama yang tampil dengan idea seni bina tersendiri bertambah lengkap dengan kehadiran rumah pusaka di sebelahnya.

“Usaha ini tidak semudah disangka kerana ia membabitkan pelbagai perkara dengan cabaran yang hebat.

“Hasrat membina semula rumah ini dirancang sejak dua tahun lalu, kini menjadi kenyataan.

“Sukar digambarkan dengan kata-kata sebaik ia tersergam gagah bersebelahan kediaman utama kami ini,” katanya.

Foto

ROSNAH dan suami, Rahim Omar saling berkongsi idea.
Menceritakan proses awal pembinaan semula rumah pusaka yang kelihatan menyamai kediaman tradisional Perak itu, Rosnah nyata teruja.

Bayangkan usaha itu memerlukan perincian apabila setiap material, elemen dan segala berkenaan rumah pusaka asal dibuka kemudian dibina semula.

“Ia bukan satu tugas mudah dengan sedikit penambahan material binaan masa kini,” katanya yang turut gemar melukis.

Anak kelahiran Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak itu inginkan khazanah itu terus kekal sampai bila-bila.

Menemui buku log yang mencatatkan perancangan binaan rumah pusaka itu nyata memberi kekuatan untuk meneruskan usaha mempertahankan khazanah keluarga paling
bernilai itu.

“Rumah pusaka ini dibina sejak 1910 dan buku log itu ada tertulis jenis material digunakan secara tidak langsung membakar semangat saya untuk terus memartabatkannya untuk generasi hari ini.

“Selagi tidak terbina semula dengan jayanya, terasa seperti hutang yang belum dilangsaikan,” katanya yang mendapat sokongan padu suami tercinta, Rahim Omar, 55.


Nilai estetika terus dipertahankan

Berada dalam persekitaran yang sarat dengan khazanah dan nilai estetika memukau pandangan, hakikatnya meletakkan rumah pusaka binaan semula itu lebih unik.

Penambahan pada ruang anak tangga dengan kemasan jubin masa kini sedikit pun tidak mencacatkan penampilan asalnya.

Melangkah pada anak tangga kayunya pula sudah cukup mengimbau keaslian material binaan.

“Hampir 90 peratus material asal rumah pusaka ini dikekalkan cuma sedikit pengubahsuaian dilakukan.

“Kewujudan ruang beranda pula menjadi tempat paling sesuai untuk bersantai sambil menghirup udara segar,” kata Rosnah yang juga Ketua Sumber Korporat Global Facilities Management Sdn Bhd itu.

Menjenguk ruang dalaman, suasana santai dengan pelbagai perhiasan antik mewarnai segenap penjuru.

Sesekali angin sepoi-sepoi bahasa yang segar menambahkan persekitaran menarik.
Penggunaan langsir nipis menyingkap keindahan seni dan rekaan tingkap rumah pusaka itu.

Bahagian dinding pula dihiasi ringkas menyamai dekorasi zaman silam termasuk gambar asal rumah pusaka berkenaan.

“Tiada perabot dalam rumah ini bagi menambahkan lagi suasana santai dan tiada halangan jika dijadikan tempat menunaikan solat.

“Beberapa khazanah lama dari rumah asal turut berada di sini dalam usaha mengimbau nostalgia silam dan generasi muda lebih mengenalinya,” katanya.

Harian Metro: Bukan elemen hiasan asing

Oleh Hartini Mohd Nawi

Dekorasi yang diserikan dengan tumbuhan udara bukan elemen hiasan asing kerana melaluinya anda bakal menemui kelainan penggayaan ruang dalaman.

Mengunjungi kediaman yang sarat dengan hiasan tumbuhan udara seperti tillandsia tentunya memberikan pengalaman baru buat anda.

Daripada hiasan dalam kaca di atas meja makan, bekas seramik di ruang dapur hingga reka letak tersusun rapi sebagai latar dinding, pilihan tumbuhan udara sebagai hiasan tambahan dilihat unik.

Ia dilihat sama dengan perhiasan lain, namun membawa karakter nilai estetika berbeza.



DEKORATIF tumbuhan udara dalam balang kaca.

Tumbuhan ini antara yang menjadi pilihan kerana tidak memerlukan tanah atau medium khusus.

Memadai dengan dekoratif dalam elemen hiasan tertentu pasti tumbuhan berkenaan kekal segar asalkan proses tumbesarannya tidak terganggu.

Bagaimanapun, perhiasan yang diserikan dengan tumbuhan udara berkenaan juga memerlukan air dan cahaya matahari secukupnya serta bergantung kepada persekitaran.

Biasanya tumbuhan udara perlu disiram dua hingga tiga kali seminggu hingga permukaan daunnya basah.

Lakukan lebih kerap jika persekitaran kering. Tumbuhan ini perlu direndam dalam air antara dua hingga tiga jam setiap dua minggu.

Foto
PASTIKAN material atau bekas yang menampung tanaman ini sesuai apabila digantung pada dinding.

Bagi pencahayaan atau sumber cahaya matahari secara semula jadi, ia perlu diletakkan lebih kurang 0.3 meter dari tingkap.

Dekoratif pada kulit kayu dan kerang juga tidak kurang menariknya yang secara tidak langsung mencipta keindahan tersendiri.

Serikan kehadiran tanaman berkenaan dengan susun atur menarik batu-batuan atau pilihan bekas yang unik.

Dalam apa juga keadaan, aspek keselesaan, keselamatan dan kebersihan pada ruang yang dihiasi dengan tanaman itu perlu diambil kira. 

Foto
CIPTA tatahias yang anda inginkan biar pun ringkas.
Jika membabitkan penggunaan balang kaca, pastikan reka letaknya selamat dan tidak mudah dicapai kanak-kanak.

Hiasan pada dinding pula perlu digantung dengan cermat atau disokong pemegang khas supaya tidak terjatuh dan mengelakkan kejadian tidak diingini.

Malah, gaya penataan lebih menampakkan perlambangan apabila tumbuhan udara itu dihias dalam persekitaran bersih dan terjaga.

Bagi mengelakkan kebosanan, alihkan kedudukan hiasan berkenaan mengikut cita rasa dan kesesuaiannya atau konsep penataan pilihan anda.

Kini penataan kediaman anda tampil berbeza tanpa perlu mengeluar bajet besar untuk mendapatkan tumbuhan atau hiasan menarik.

Cukup sekadar memilih tumbuhan udara sebagai elemen utama terutama anda yang sentiasa sibuk dengan kerjaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/05

Harian Metro: Kebun herba di balkoni



Kebun herba di balkoni

Oleh Hartini Mohd Nawi

Menjadikan balkoni sebagai ruang paling bermanfaat untuk berkebun dan mendalami dunia herba membuatkan pemiliknya kini mampu tersenyum puas.

Berkeluasan 63 kaki persegi, ruang yang ada itu bukan lagi menjadi lokasi menikmati pemandangan semata-mata kerana kehijauan kebun turut menarik perhatian.

ANTARA tanaman tomato yang turut membuahkan hasil.
Segalanya tidak mustahil buat Masliza Maaris, 38, yang menzahirkan kecintaannya terhadap dunia sayur-sayuran dan herba pada ruang terhad itu.

Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu menanam sayur dan herba sejak pertengahan tahun lalu selain menjadikan aktiviti itu hobi di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
RUANG balkoni di manfaatkan dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran.
Kini, anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu berbangga apabila tanamannya beberapa kali membuahkan hasil.

“Berkebun di balkoni memberikan cabaran tersendiri dengan ruang yang terhad. Bagi mengatasi masalah itu, saya gemar menanam dalam bentuk kebun vertikal atau ‘vertical gardening.’

BOTOL terpakai dijadikan pasu.
“Bekas penyimpan plastik dijadikan pasu dan uniknya ia mempunyai banyak lubang.

“Jika terdapat lebih anak pokok, saya boleh terus menanamnya di salah satu lubang berkenaan,” katanya.

Malah, dia turut menggunakan poket menyimpan barang bertingkat terpakai untuk menanam herba yang disangkut pada dinding balkoni.

Di sepanjang pagar balkoni pula, dia menggantung pasu daripada botol terpakai dengan memuatkan pelbagai tanaman termasuk cili, terung dan kacang panjang.

TERUNG pula berada di tepi balkoni.
Sebaik disiram, air membasahi tanaman di bahagian bawah dan kaedah ini mewujudkan suasana bersih atau tidak mengganggu balkoni kediaman orang lain.

Bagi tanaman sayur yang mudah hidup seperti pokok kari dan pucuk manis, ia ditanam dalam pasu sama bagi menjimatkan ruang.

“Saya bersemangat memikirkan berapa jenis pokok yang dapat ditanam pada balkoni ini.

PEGAGA tumbuh subur dalam poket menyimpan barang bertingkat terpakai.
“Ini kerana saya perlu memikirkan secara strategik kedudukan setiap jenis pokok sayur bergantung kepada sifat dan rupa fizikal pokok.

“Tanaman melilit seperti timun dan kacang panjang umpamanya sesuai di tanam di tepi balkoni bagi melancar tumbesaran lilitan dengan sokongan pagar balkoni,” katanya.

Tanaman yang mempunyai dahan rimbun seperti tomato amat sesuai ditanam di sudut itu untuk mendapatkan cahaya matahari secukupnya.

Ini membolehkan balkoni menjadi lebih lapang dan tidak semak. Sementara sinaran matahari penting menentukan fungsi sudut tertentu di balkoni.

Ruang yang kurang menerima sinaran matahari lebih sesuai dijadikan tempat menyemai biji benih.

Berbanding menanam pokok bunga yang memerlukan pasu yang cantik untuk menambahkan gaya laman, menanam sayur-sayuran tidak memerlukan perbelanjaan besar.

Dalam bekas pelbagai guna pun, ia sesuai ditanam. Cukup sekadar mampu menampung tanah, pokok dan mempunyai pengaliran air yang sempurna.

“Di balkoni ini, saya hanya menggunakan balang plastik menyimpan kuih raya dan botol plastik untuk menanam sayur.

“Bekas-bekas ini ditebuk lubang di bahagian bawah sebelum diisi dengan tanah untuk ditanam sayur. Bekas yang besar digunakan sebagai pasu, sementara bekas kecil dijadikan tempat semaian benih,” katanya.

Hakikatnya, dia bermula dengan tanaman seperti timun, tomato, petola, cili, kacang panjang dan beberapa pokok ulam termasuk seperti pegaga, selasih, ketumbar dan pudina.

Apabila tanaman itu matang dan mengeluarkan hasil, saya menanam lebih banyak sayur-sayuran dan buah seperti limau purut, limau kasturi, pokok kari, petola, bendi, jagung manis, daun pandan, kalian dan bayam.

Jika dulu benih sayur dan anak pokok di beli secara dalam talian atau di nurseri, Kini Masliza menggunakan benih sendiri yang disemai.

Menariknya, hobi itu turut dikongsi suami Mohd Faiz Abdul Razak, 36 dan tiga cahaya mata iaitu Amirul Hakimi, 10, Arman Adham, 7 dan Adlan Iman, 4.

Panduan berkebun di balkoni mengikut pengalaman Masliza.
  1. Pastikan kedudukan pancaran matahari di balkoni. Ruang yang banyak menerima cahaya semula jadi itu sesuai dijadikan ruang bercucuk tanam.
  2. Ketahui sifat tanaman sayur yang ingin ditanam. Adakah tanaman itu perlu sokongan pancang, air yang banyak atau ‘dikahwinkan’ secara manual antara bunga betina dan jantan.
  3. Bagi yang baru memulakan hobi berkebun di balkoni, cukup sekadar bermula dengan dua atau tiga pokok. Ramai suka dengan idea mempunyai kebun balkoni tetapi tidak mampu memberi komitmen dalam menjaga tanaman itu.
  4. Digalakkan membabitkan diri dalam forum, komuniti, blog atau Facebook di media sosial untuk mendapatkan panduan berkenaan tanaman.
  5. Jangan putus asa jika pokok yang ditanam tidak menjadi atau diserang serangga.
  6. Babitkan ahli keluarga yang lain dalam rutin penjagaan kebun balkoni dan jadikannya aktiviti bersama.
Artikel ini disiarkan pada 18/01/2014

Harian Metro: Dekoratif Sentuhan Bunga-Bungaan




Oleh Hartini Mohd Nawi

Sarat dengan penataan berlatarkan bunga-bungaan dalam warna segar dan harmoni semestinya menjadi gambaran awal dekorasi gaya Inggeris.

Di sebalik keindahan dengan tafsiran berbeza itu, masing-masing yang meminati gaya berkenaan mempunyai huraian tersendiri.

Daripada pilihan elemen hiasan hingga reka letaknya, ia diilhamkan menerusi cita rasa luar biasa.

PADANAN latar lembut yang menyejukkan pandangan mata.


Dalam situasi itu, Roslinah Baharim, 42, antara individu yang obses de­ngan gaya Inggeris.


Menjadikan kediamannya sebagai ruang eksperimen paling bermanfaat, setiap ruang sinonim dengan gaya Inggeris.

“Saya tidak menolak kenyataan bahawa gaya ini menjadi kegilaan kebanyakan pemilik kediaman.

“Keunikannya sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata kerana setiap orang mempunyai idea dan alasan tersendiri berkenaan gaya ini,” katanya.

Foto
RUANG makan yang turut menampilkan suai padan.
Menceritakan detik mula menghias kediaman dengan gaya berkenaan, ia bermula sejak zaman remaja.

“Sama dengan anak gadis lain, saya turut meminati elemen bunga-bungaan sebagai penyeri bilik dan ruang kediaman ibu bapa yang saya diami hari ini,” kata ibu tiga cahaya mata itu.

Lantas, idea menggayakan dekorasi yang lebih kepada warna lembut itu kian serasi dengan anak kelahiran Ampang, Selangor ini.
Foto
KABINET dapur tampil hebat dengan gaya yang sama.
“Bagaimanapun, ia hanya dilakukan secara suka-suka sebelum serius menata hias ruang kediaman ini dengan gaya Inggeris tujuh tahun lalu.

“Pelbagai aspek diambil kira supaya usaha menampilkan keunikannya tanpa mengeluarkan bajet besar,” katanya yang kini tinggal di banglo warisan ibu bapanya di Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor itu.

Memanfaatkan perabot sedia ada, ruang tamu diserlahkan dengan gaya Inggeris menerusi suai padan yang menarik.

Foto
ROSLINAH menunjukkan satu daripada koleksi perhiasannya.
Begitu juga dengan peng­gayaan di ruang dapur yang turut selesa dengan gaya berkenaan.

Susun atur setiap elemen hiasan pula kelihatan sekata biarpun semuanya tampil dengan bunga-bungaan mawar.

Wanita ini juga sering mencari kelainan dalam setiap idea yang diketengahkan itu bagi mengelak kebosanan atau tatahias biasa.
Foto
SUASANA harmoni kuasai ruang.
Buku, akhbar, majalah dalam dan luar negara serta Internet menjadi rujukan utama untuk mencipta sesuatu lebih segar.

“Menerusi bahan bacaan ini, kita berpeluang melihat idea itu sesuai untuk ruang kediaman sendiri atau sebaliknya.

“Disebabkan tafsiran keunikan gaya Inggeris itu saling berbeza, gabungan cita rasa dan kreativiti penting,” katanya.

Malah, Roslinah ber­kongsi beberapa petua yang perlu diutamakan jika benar-benar memiliki gaya Inggeris.

“Saya amalkan tiga perkara utama iaitu perancangan, kekemasan dan kebersihan.

“Dalam apa keadaan, ia penting sebagai panduan utama supaya suasana kekal berseri sepanjang masa,” katanya yang turut mendapat sokongan moral suami tercinta, Ahmad Termidi Mohamad, 50.

Petua itu juga yang membantu tampilnya ruang selesa atau terjaga sepanjang masa dek kerana gaya penataan ini memerlukan perhatian luar biasa.

Apatah lagi gaya Inggeris banyak mem­ba­bit­kan elemen hi­a­san kecil yang semestinya menuntut penjagaan sewajarnya.

Menzahirkan semua itu, setiap reka letak diteliti sebaik mungkin supaya tidak mengganggu pandangan mata atau menghalang laluan pergerakan.

Kerja mengemas dan membersihkan ruang demi ruang dilakukan secara berperingkat bukan serentak.

“Ia satu tugasan mencabar tetapi bagi saya tidak membebankan kerana banyak menuntut kreativiti dan idea baru saban waktu.

“Apabila mengemas, susun atur perhiasan juga ada kalanya berubah jika difikirkan perlu untuk menampil­kan idea baru dalam tatahias itu,” kata­nya.

Menariknya, landskap di kediaman itu diserlahkan dengan aura gaya Inggeris berlatarkan pepohon hijau segar.

Tidak terhenti di situ kerana suri rumah sepenuh masa ini sentiasa sibuk sebagai usahawan dalam talian menerusi Facebook Page English Home Decor.

Dipetik dari Harian Metro, 14 Disember 2013